Sabtu, April 30, 2011

DUNIA KECILku

pandangan disekat rasa
tekad restu naluri budi
inginku berkata;
"inikah yang dinamakan dunia'
telah timbul segala duga
bermain cerita tentang usia.

aku hanya mampu tersenyum
menongkah dagu yang gebu
disekelilingku nikmat dicari
dihiasi fantasi dan dusta
terjebak bukan kehendak
dalam permainan serba serbi
duniaku masih mengecil
maka tersekat niat hajat.

fokus bermula di hadapan
dewasa memanggil-memanggil
aku ketawa dalam hilaian yang turut serta
pujian umpama dari langit
hamburan ibarat emas di lautan.


Aku fasrah dan gembira
kerana aku hanya si kecil
cuma melihat dunia dengan mata.

mEI2011

LASYKAR HITAM

Lasykar Hitam,
bahtera dosa menyusur
mengocak tasik fikiran
hadir layar bicara
hembusan bayu ingkar
menggetar gua naluri
dari tebing hasutan.

Lasykar hitam bergerak,
menyusup ke stiap urat dan nadi
dengan barisan tegar
melebur rasa kasih
ke acuan angkuh!

Lasykar Hitam mara,
mencarik-carik jalan waras
memungkar akal tauhid
ke arah songsang sejadah.

Lasykar Hitam,
Mencemburui rasa insaf
dengan cekal dendam
menyogok khilaf
kewujudan adam.

Lasykar Hitam patuh,
bisikan Azazil
membawa durjana dosa
Hingga tempikan sangkakala!

BONGKAH

dari sudut hati tertanam bongkah jiwa
setiapnya mengikut lekuk minda sekata
gerak langkah segiempat
jangan diubah bongkah mengarah
ikut saja laluan sisi
berputar hanya lingkungan segi

Lanskap kehidupan

catatan diari lensa
yang tertulis rakaman usia
awan simpati berarak menguasai langit jiwa
gunung harapan semakin memuncak
tebingan cita-cita terhakis oleh sungai keinginan
semuanya membentuk lanskap kehidupan cuma

semakin mesra kehadiran senja
bayu menggerak pepohon semangat
menggugur daun-daun impian
batang tegak mereput
kini akar kudrat mula bergetar
menanti rebah ke asal zahir

Pemandangan yg semakin indah
di mata pencinta pengalaman
walau waktunya hampir pasti!

TANAH TUMPAH DAN HIJRAH SEJARAH

Terbentuk asal ditelusuri komuniti
Mencorak sejarah peradaban
Dilingkari garis geografi dan sosial
Mencoret putih kehidupan
Dengan warna bahasa dan budaya
Melakar arca ketamadunan
Dari tanah tumpah dan hijrah sejarah.

Cerita migrasi dari seberang ke seberang
Membentuk gugusan pemerintahan
Dari petani, pelayar dan pedagang
Menjadi pemangkin kewujudan bangsa
Melengkapi corak pemikiran hadapan
Dalam perkaitan ruang sawarjagat
Mencurah semangat patriotisme
Dari idea tentang kemajuan
Yang semakin wujud berabad.

Cekal semangat dalam ruang sosial
Menjadi adab kebangkitan perpaduan jitu
Bergerak meluas harapan
diterajui generasi berwawasan tinggi
Mengembalikan kegemilangan sejarah
Meneroka alam kehidupan yang baharu.

Degup nadi nafas berhembus
Menyusuri sepanjang sungai Sarawak
Mengkhabarkan kemunculan Bandaraya Taman
Yang menyejukkan samudera hangat
Merentangi hala Masyrik dan Maghrib
Bersama satu semangat nusa
Menjadi lorong keamanan negara.

Harapan dan impian bakti
Bertunjangkan kesedaran hakiki
Teras agama bangsa dan budaya
Mendepani bahtera keagungan susila
Menyerap visi ilmu bestari
Ke arah dunia realiti terkini
Yang semakin rancak dengan teknologi.

Tegak kalimat pertiwi
kukuh semangat globalisasi
Mantap keramat Hadhiri
Kuching Bandaraya Tradisi!

2008

Selasa, April 26, 2011

KARYA ALAM

Di sini mencari makna
bersama keharuman bunga sentosa
ketenangan yang didamba
menyusur jalur-jalur cahaya pelangi
membibit cinta nostalgia
yang disubur bersama harapan.

aku berpijak penuh matlamat
seiring langkah menggerak tingkah
niat menyapa sentuhan alam
bersatu dengan karya lensa
merakam keindahan milik-Mu.

terhasillah satu naluri rasa
menyimpang dari sesak minda
membuka ruang pemikiran bahagia
pabila terpanar sinar pandangan
terpegun melihat kemesraan alam
yang mula memikat pencinta seni.

Aku mula selesa
bermain karya dengan alam
di sini mencari damai


telah kutemu sentuhan peribadi
tentang penerokaan abadi.

POTRET USIA

Di relung pancaroba ini
terungkai potret usia
dengan bingkai kegigihan
melekat di dinding kembara.

Gambar ini cerita lama
memapar rakaman pengalaman
yang mengukur perjalanan masa
tentang degup nadi yang kekal.

Seketika rupamu perih
bagai debu menunggu waktu
senyap dingin dan tenang
tapi auranya menebar luas
di perbatasan pandangan.

Potret ini tetap segar
dengan garisan riwayat
yang menjalar di seluruh wajah
melambangkan kepayahan
dalam menempuh badai kehidupan.

Potret usia
tetap bertahan
walau pudar oleh silau senja.

ogos 2011

MENUNGGU DETIK





Kelopak Cinta

Bunga yang terindah
terkandung senyuman mekar
di sini mentari singgah
menyubur kelopak cinta
tumbuhnya lambaian sukma
terpacak bibit mesra
antara kuntuman kasih
yang dambakan kucupan setia


Bilamasa yang terasa
terbuai oleh senja romantis
yang memancar di ufuk memori
awan rindu mula bertamu
langit jiwa mula ternoda
bunga mengharum di singgah bayu