Sabtu, April 30, 2011

TANAH TUMPAH DAN HIJRAH SEJARAH

Terbentuk asal ditelusuri komuniti
Mencorak sejarah peradaban
Dilingkari garis geografi dan sosial
Mencoret putih kehidupan
Dengan warna bahasa dan budaya
Melakar arca ketamadunan
Dari tanah tumpah dan hijrah sejarah.

Cerita migrasi dari seberang ke seberang
Membentuk gugusan pemerintahan
Dari petani, pelayar dan pedagang
Menjadi pemangkin kewujudan bangsa
Melengkapi corak pemikiran hadapan
Dalam perkaitan ruang sawarjagat
Mencurah semangat patriotisme
Dari idea tentang kemajuan
Yang semakin wujud berabad.

Cekal semangat dalam ruang sosial
Menjadi adab kebangkitan perpaduan jitu
Bergerak meluas harapan
diterajui generasi berwawasan tinggi
Mengembalikan kegemilangan sejarah
Meneroka alam kehidupan yang baharu.

Degup nadi nafas berhembus
Menyusuri sepanjang sungai Sarawak
Mengkhabarkan kemunculan Bandaraya Taman
Yang menyejukkan samudera hangat
Merentangi hala Masyrik dan Maghrib
Bersama satu semangat nusa
Menjadi lorong keamanan negara.

Harapan dan impian bakti
Bertunjangkan kesedaran hakiki
Teras agama bangsa dan budaya
Mendepani bahtera keagungan susila
Menyerap visi ilmu bestari
Ke arah dunia realiti terkini
Yang semakin rancak dengan teknologi.

Tegak kalimat pertiwi
kukuh semangat globalisasi
Mantap keramat Hadhiri
Kuching Bandaraya Tradisi!

2008

Tiada ulasan: