Jumaat, Ogos 12, 2011

PENAGIH REZEKI

Dia penagih rezeki
berjawatan peminta berpangkat perayau
meraih pendapatan di lorong berbau nikmat
di celah-celah restoran menjaja kasihan
dari pelanggan yang senyum hairan
sambil menikmati bermacam-macam hidangan
ingin memberi antara simpati dan bangga diri.

Dia penagih rezeki
membawa tongkat sakti dan tin besi
yang mengetuk hati manusia leka
untuk mengenal erti sengsara
seorang yang sentiasa di selubungi gelap
bertarung mencari jalan kehidupan
demi menerangkan kamar hayat
bagi mengharungi arus dunia
di pentas kemodenan pesat pembangunan.

Semakin maju tamadun peradaban
canggih dan mewah saling didamba
namun si penagih rezeki,
tetap berjalan senada seirama
meningkah simfoni masyarakat terkini
dengan alunan lagu sepi
yang masyarakat tak ambil peduli
tentang wujudnya melodi sumbang
di tengah kerancakan orkestra kemajuan.

Dia penagih rezeki
hanya mampu meraih simpati
dengan takdir Ilahi
yang sekian lama menguji diri.


Tiada ulasan: