Selasa, Julai 31, 2012

HUJAN DI KOTA DAN ANAK KECIL ITU

Lebat hujan itu
Dinginnya menyelubungi langkah kaku
Aku mula menyusur di bawah langit mendung
Melihat Anak kecil di luar itu merintih
Wajahnya termangu sayu
Menahan perit dan gusar
Dibasahi hujan yang mencurah
Itulah perjuangan mencari kesempurnaan
Inilah kemodenan
Inilah kemajuan
Kita hidup dalam tamadun hebat.

Lebat Hujan itu
Mengalunkan rentak yang bertaburan
Dalam ketenangan jiwa yang kontang
Aku resah walau tak basah
Aku gelisah walau hujan tak diredah
Anak kecil itu mendongak simpati
Mengharap ihsan dari yang memberi
Walau menggigil di tapak mandiri
Inilah hakikat
Inilah matlamat
Kita hidup dalam mengejar harakat.

Lebat hujan itu
Dinginnya semakin hilang
Ketika mentari mula mengintai.
Aku harus maju ke hadapan
Walau anak kecil itu terkapai-kapai
Bagaikan karam di lautan kota
Untuk menggapai perahu penyelesaian
Dalam arus permodenan kemajuan
Inilah perjuangan
Inilah persaingan
Kita hidup dalam mengejar kemewahan

Lebat Hujan itu
Akhirnya usai
Ketika perasaan dibuai kejayaan.
Aku melihat dan aku terpaku
Aku mengucap dan aku terkedu
Anak kecil terbaring kebasahan
Lena dalam kesejukan
Bersama tin kosong dan  perut kosong
Itukah kejayaan?
Itukah kehebatan?
Demi  meneruskan hayat
Dalam kota yang hebat.

Aku sampai ke destinasi
Aku tak mengalah walau peritnya rintangan
Tapi jiwaku mula menangis
Dan aku tewas oleh simpati
Mengenang nasib anak kecil itu
Yang mula menyedarkan aku
Ada yang lebih hebat dari perjuanganku
Ada yang lebih penting dari matlamatku.
Akhirnya aku terkelu dan tertunduk pilu.

2012

Khamis, Julai 26, 2012

IBUKU BUKAN PENDUSTA

Detik berlalu di kaki waktu
Menghurai belenggu Sang Pemimpi
Telah pasti dinihari sepi
Mentari menjamah rasa
Pada angin yang mula curiga
Dengan sengketa embun berlagu.

Aku menguak terkebil gigil
Rendang dedaun melambai senyum
Bagai ibu yang membelai harum
Aku ingin didukung
Dengan mulutku terlopong
Kerana aku hanya melihat
Dari ruang fikiran yang kaku
Badan hanya terbujur
Yang berperang dengan waktu

Ibu,
kau kau kah itu?
Desir bayu membisik daku:
“Di sinilah tempat kau
Bermain dengan alam.
Di sini ibumu menyatukan
Kau dengan alam.
Lalu kau harus tempuh sendiri
Beralaskan tikar takdir
Yang menentu rumah nasibmu.
Ibumu hanya pendusta
Membiarkan kau keseorangan
Menempuh duga sekitar
Antara gelandangan yang terbiar.”

Tak mungkin!
Ibuku bukan pendusta
Dia hanya terdesak oleh nafsu
Membiarkan takdir menentu hala tuju!

Bayu tersenyum sendu
Pohon melambai pilu
Aku memandang tanpa pengertian
Tentang pancaroba dunia
Tentang hakikat kehidupan
Yang terlanjur oleh godaan
Terjerumus dalam kancah penghinaan.
Ibu,
Aku tetap setia menanti
Kasih sayang sejati
Walau dalam mimpi
Kau datang mengucup dahiku.

2012