Jumaat, Jun 03, 2011

KASMARAN WAKTU

Setiap detik inginku berbicara
tentang keharuman kemboja rasa
membugar minda membatas jiwa
terusik naluri yang dingin
di bawah tetes-tetes embunan asmara.


Demi waktu aku menunggu
di landasan kasih setia
menjadi laluan ekspres cinta
singgah dan berlalu pada hentian mesra

aku masih temanggu
duduk di bangku rindu
memerhati gelagat sang ratu
menyemai kerjaya jitu
yang menjadi perjalanan hidup.

setiaku tak berbelah bahagi
antara kasih dan ruang waktu
aku tetap menunggu sabar
Ekspres yang membawa bekalan bahagia
untukku naiki seiring kembara makna
bersama kasmaran waktu.

ARUS

Arus yang tenang akan mudah direnang
menyusuri sungai persaingan
menuju ke samudera kejayaan.

Arus yang deras bisa lemas
akan tersesar hidup dan hanyut terbabas
ke tebing sikap yang pasti terjejas
oleh debur ombak kenafsuan
yang merubah pantai kehidupan.

Mengapa harus memilih arus deras
untuk mengejar sesuatu impian
dengan cara yang singkat
dan akhirnya tenggelam karam
sedangkan yang memilih arus tenang
akan mudah berenang ke muara gemilang.

LELABAH 1

semburan melebar jejaring hati
mula menyiap jerangkap hasrat
di situ bermulanya buruan jiwa
terkandung niat tersirat
di sebalik kecerdikan pelaku hebat


Dari segala gerak pandang cekap menduga sifat lawan
yang menghampiri mahligai khayalan
dipukau dengan kemahiran

disulam dengan kebijaksanaan

awas perangkap si Lelabah
renung yang pasti menggoda
umpan keindahan yang terbentang
disaluti racun asmara
yang tertawan pasti ditawan


Jun 2011

KEMBARA INI

Kembara ini harus ditempuh
melewati lorong-lorong pengalaman diri
kulalui denai usia penuh berliku
menyemai memori diari kehidupan

Di sini pentas bermain kata
tempat lakonan debaran getar
keluh kesah nafas hayat
keringat dicurah khidmat digalas

Usah dibuai mimpi perjalanan
yang disusur nyata di hadapan
seakan semangat layu tersungkur
sekian jalan matlamat diukur

Bersama cinta segala-galanya bermula
derita dibiar menanti bahagia

Kita seiring jalan dituju
mengejar bunga-bunga ilmu yang lama berputik
menghiasi pohon-pohon kehidupan
lalu daun-daun waktu cemburu pantas berguguran

Cerita kita tentang masa
jiwa tenang menghampiri diri
dari riuh perhentian nostalgia
yang sebati selama ini

Kini,
terasa kelu suara hati
sudah sampai ketikanya di sini.

GIGIH SANG PERAIH

Kau raih dengan gigih
Menempuh duga dalam sabar
Mencari janji yang belum pasti
Hasrat tegar seorang nelayan

Di sini bertebaran jala harapan
Yang dinanti dengan debar
Yang direnung dengan asyik
Dalam bayangan sungai impian
Menunggu jelmaan limpahan suapan
Antara nyata dan angan-angan


Ketenangan alir sungai menjadi saksi
Pelaku yang tak mampu ditafsir dengan hujah
Hanya kekuatan dan azam menjadi bekalan
Tentang hidup dan masa depan

Sentimental kehidupan nelayan
Biarpun resah mencari jawapan
Menjadi pemburu alam yang tekun
Kekal di daerah serba pengalaman



Aku jadi pemerhati yang setia
Menunggu tingkah yang berbeza
Supaya kau jauh melangkah
Meneroka seluas lautan
Meraih sehasta pendapatan

Inginku lihat
Gigih Sang peraih
Yang mampu mengubah haluan daif
Menuju ke samudera kejayaan.

2 jun 2011










Selasa, Mei 31, 2011

DAKAPAN MESRA

 Aku mula terasa dakapan mesra itu
bahang rindu mencair emosi
sehingga lembut sentuhan rasa
di permaidani rindu

Jiwa semakin gelora
antara tebing cinta dan riak kasih

Dakapan mesra mengerat berahi
kukuhlah sauh perasaan
ibu dan anak berkongsi bahtera sayang

Renunganku terus membara
menembusi lensa pandanganku
terjelmalah satu karya silaturrahim
membibit emosi kesedaran
tentang kesinambungan tali persaudaraan.

KARYA CINTA

Sulaman benang kasihmu
Menjadi selendang peribadiku
Sehingga kusentuh lembut nikmatnya
Lalu tak bisa kulepas diri
Dari magis yang menyelimuti wilayah cinta
Menjalar ke pepohonan hati
Manusia yang bergelar perindu.

Kini sungai mengalir laju
Mentari berkilau sinarnya
Awan berarak menyinsing fajar
Kelopak mawar menguntum subur
Segalanya tersingkap tabir keraguan
Menyambut kesatuan dua jiwa
Yang merajut nyanyian pujian.

Pandangan mata dari sang kekasih
Menjernihkan mata telanjang
Terungkap misteri di dunia hadir
Betapa indahnya seni Maha Agung
Yang dicipta dari tulang rusuk
Mengisi ruang sunyi bernama lelaki
Di bawah lembayung ikatan suci.

Alunan halus menyerap batinku
Menggetar jemari yang kaku
Lantas melakar karya cinta
Di atas hamparan selendang kasih
Yang menyusur syair rindu
Di bibir senymanmu...

REZEKI KATA ORANG TUA