Jumaat, Jun 03, 2011

KEMBARA INI

Kembara ini harus ditempuh
melewati lorong-lorong pengalaman diri
kulalui denai usia penuh berliku
menyemai memori diari kehidupan

Di sini pentas bermain kata
tempat lakonan debaran getar
keluh kesah nafas hayat
keringat dicurah khidmat digalas

Usah dibuai mimpi perjalanan
yang disusur nyata di hadapan
seakan semangat layu tersungkur
sekian jalan matlamat diukur

Bersama cinta segala-galanya bermula
derita dibiar menanti bahagia

Kita seiring jalan dituju
mengejar bunga-bunga ilmu yang lama berputik
menghiasi pohon-pohon kehidupan
lalu daun-daun waktu cemburu pantas berguguran

Cerita kita tentang masa
jiwa tenang menghampiri diri
dari riuh perhentian nostalgia
yang sebati selama ini

Kini,
terasa kelu suara hati
sudah sampai ketikanya di sini.

Tiada ulasan: