Rabu, Jun 29, 2011

DI SEBALIK CAHAYA KOTA



Cerah cahaya kota
menerbitkan sinar keyakinan
anak desa meninggalkan halaman
demi mengejar harapan dan impian
untuk menyinar pentas kehidupan
dalam semarak mega
pancaran kota duga.

Kilauan mutiara kota
menyilau mata jiwa
sehingga leka dengan dunia edan
terlupa adat budaya
sambil mengejar kekayaan
tercicir nilai kesopanan.

Bahang cahaya kota membakar iman dan takwa
menggelegak darah anak bangsa
sehingga lebur jati diri
cair nilai dan mengalir moral
ke dalam acuan barat yang berkarat
menjadi belati maruah yang tersesat
sehingga luruh daun-daun muafakat
serta mematah ranting-ranting adat
lantas mencantas akar budaya.

Kini pemburu cahaya kota
semakin rakus memasang tuba dusta
di tasik minda anak muda
dengan segala racun khayal
kononnya ubat segala masalah
ciptaan tamadun barat.

Tapi usah persalahkan kota
kerana kota bermula dari desa
desa terbina dari tamadun manusia
kitalah pengatur sifat dan budi bicara
pencipta kata pencetus rasa
pelukis kota pencorak sengketa
molek kita eloklah kota.

Marilah kita cerahkan kota
dengan pelita hati nur Ilahi
mengenali erti pertiwi
yang akan membawa keinsafan diri.

Selasa, Jun 07, 2011

BAHTERA SERUMPUN

Kusingkap tirai sejarah lalu
Bahtera yang menghimpun segala rupa
Mengungkai rencam pelbagai buadaya
Megungkap segenap duka dan lara
Belayar tekad berumpun iktikad
Mengibarkan perpaduan di laut peradaban
Diterajui nakhoda berjiwa waja
Beriman takwa berilmu cendekia.

Kujejaki bahtera itu
Terpegunku melihat keharmonian
Pelbagai kaum berdiri di sini
Bersatu memartabatkan maruah
Membanting semangat mengangkat cemerlang
Mengukir matlamat melakar gemilang
Menyiram azam menybur bangsa terbilang
Demi mengukuhkan bahtera serumpun
Berteraskan kemajuan dalam kedamaian.

Kuterus belayar
Bersama penghuni bahtera itu
Bersatu kudrat mengayuh keringat
Memajukan bahtera melayarkan ke hadapan
Menempuh gelombang globalisasi
untuk mengejar cita dan visi
Demi mencapai satu inspirasi
Menjadi bekalan di kemudian hari.

Sekalipun pernah tergoncang oleh taufan ancaman
Bahtera itu tetap kembali seimbang
Dikemudi oleh nakhoda berwibawa dan tenang
Memegang pada satu prinsip
Tali biar kukuh
Sauh biar tegar
Berlabuh biar teguh
Belayar biar pintar.

Kini bahtera itu semakin utuh
Dengan kebijaksanaan nakhodanya
Mengemudi menyusuri arus wawasan
Singgah berlabuh di pulau kejayaan
Bersama digerakkan oleh penghuni setia
Tekun berganding mengibarkan layar bahtera
Berjalur merah darah keringat penghuninya
Kuning bulan dan bintang mercu kedaulatannya
Berlatarkan biru membentuk satu perpaduan
Dihampari putih lambang bersih dan suci
Inilah bahtera Malaysia tercinta.

Isnin, Jun 06, 2011

TAWAKAL

Degup jantung tusukan alpa
Tersidai getir di tangkal madah
Simpul mekar di kelopak sedar
Entah berapa harga kasih
Yang dipinggul serat tasbih
meniti manik-manik kejahilan
Mencarik helai sejadah
Mendakap sikap terumbing minda
Berlagu tenor soprano sasar
Menjiwa watak separuh akal
Tadahkanlah titis kesal
Kembali ke pangkal-NYA

Jumaat, Jun 03, 2011

USANG YANG CANTIK

Di sini tercatat seribu cerita
mereka tertawa tentang peristiwa
menginjak imbauan pelaris tegar


hidup secuma fana
alami kendiri sehingga fasih
bertutur dengan bahasa duka
bercakap dengan ayat cinta
antara setia dan curang
semakin lama yang baru
menjadi nilai atau sampah
kita penumpul kita pengasah
jadi penyeri atau perosak

Ah... biarlah, ia usang yang cantik.

Jun 2011


MUSIM PERKASIHAN

Kini tibanya musim perkasihan
Gelora cinta membadai perasaan'
Melewati sepasang pantai jiwa
Tebing yang pernah dicalar
Oleh deburan ombak pasrah
Yang melerai butir pasir ikatan

Angin baru menyusur laju
Mnggugurkan kelopak bunga silam
Mendebungakan mawar yang kian berputik
Menyebarkan haruman ke pelosok sanubari
Menyegarkan kembali bunga yang telah layu
Berkembang mekar kini kembali berseri.

Wujud murni diri sejati
Jiwa seiring dan senasib
Kini menempuh musim baru
Membentuk kasmaran bersama perjuangan
yang mengukuhkan benteng kesamaan
Bersama harapan dan kesetiaan.

AL KISAH PAK TAMBANG


Sebuah perahu tambang
Sarat membawa penumpang
Pak Tambang gigih mengayuh keringat
Menuju destinasi hasrat
untuk sampai ke tebing matlamat.

Sebuah perahu tambang
Terumbang-ambing ke kiri dan kanan
dihempas ombak kegawatan
Pak Tambang dengan tangkas dan mahir
memperlahan kayuhan dan menyeimbang
kembali stabil terus ke hadapan.

Sebuah perahu tambang
Menyusuri arus deras pembangunan
Yang mengalir di sungai peradaban
Pak Tambang dengan berani dan bijak
Memanipulasi arus memudah pelayaran
Tanpa pengayuh kemudilah jadi peranan.

Sebuah perahu tambang
hanyut menuju ke muara alpa
Dihembus taufan budaya barat
Pak tambang cepat sedar dan tekad
Melabuhkan sauh keimanan
menyedar penumpang usah gelabah
agar perahu tak bergetar dan bergoncang.

Sebuah perahu tambang
atapnya bocor disimbah hujan daif
Pak Tambang prihatin dan teliti
Menampung atap dengan papan iklan
Tajaan syarikat perniagaan mapan
selesalah penumpang tak lagi basah sengsara.

Pak Tambang, Perahu dan Penumpang
Ibarat pemimpin, negara dan rakyat
tanpa Pak Tambang hanyutlah perahu
Tanpa penumpang Pak tambang terbujur kaku
Tanpa Perahu terkapai-kapailah di sungai kehidupan.

LELABAH 3

Bergantungan di anjung kelam
mengeram zuriat di kantung gelisah
sang lelabah tegar menghadapi alam
dalam mencari ketenangan naluri
tanpa pemikiran sebijak manusia
Racunnya bukan sekejam sengat dengki
Agresifnya bukan seganas serangan dusta
hanya sarang penempat teduh
dari kudrat keagungan Tuhan

sang lelabah tetap menunggu
perjalanan kita jadi penentu.

anugerah akal kita perlolehi
kebijaksanaan disalah erti
hanya tertanggal baju iman
lalu berselindung di bawah payung nafsu
mulalah bergantungan dosa-dosa silam
di jaring-jaring maksiat

kita yang berjubah takwa
mari dekatkan Ilahi takdir yang Satu.

DI DAHAN YANG PATAH

Di dahan ini terpaut tupai bahagia
melonjak rasa sempurna
melompat nada gembira
mencipta nostalgia ceria.

Di dahan ini berkumpul semut usaha
bekerja dengan sempurna
bersatu dalam seribu
membina mahligai sang ratu
demi kehidupan yang baharu

Di dahan ini singgah rama-rama indah
beradu mesra dengan alam
menjadi penghias flora dan fauna
penyeri taman semula jadi

Kini sejarah alam mula sirna
tupai terhumban terpijak dahan rapuh
semut tersesat sarang sendiri yang bertaburan
rama-rama semakin benci pada pengganti alam
kerana dahan telah patah
oleh kemajuan pengubah sejarah.

Jun 2011