Rabu, Jun 29, 2011

DI SEBALIK CAHAYA KOTA



Cerah cahaya kota
menerbitkan sinar keyakinan
anak desa meninggalkan halaman
demi mengejar harapan dan impian
untuk menyinar pentas kehidupan
dalam semarak mega
pancaran kota duga.

Kilauan mutiara kota
menyilau mata jiwa
sehingga leka dengan dunia edan
terlupa adat budaya
sambil mengejar kekayaan
tercicir nilai kesopanan.

Bahang cahaya kota membakar iman dan takwa
menggelegak darah anak bangsa
sehingga lebur jati diri
cair nilai dan mengalir moral
ke dalam acuan barat yang berkarat
menjadi belati maruah yang tersesat
sehingga luruh daun-daun muafakat
serta mematah ranting-ranting adat
lantas mencantas akar budaya.

Kini pemburu cahaya kota
semakin rakus memasang tuba dusta
di tasik minda anak muda
dengan segala racun khayal
kononnya ubat segala masalah
ciptaan tamadun barat.

Tapi usah persalahkan kota
kerana kota bermula dari desa
desa terbina dari tamadun manusia
kitalah pengatur sifat dan budi bicara
pencipta kata pencetus rasa
pelukis kota pencorak sengketa
molek kita eloklah kota.

Marilah kita cerahkan kota
dengan pelita hati nur Ilahi
mengenali erti pertiwi
yang akan membawa keinsafan diri.

Tiada ulasan: