Selasa, Jun 07, 2011

BAHTERA SERUMPUN

Kusingkap tirai sejarah lalu
Bahtera yang menghimpun segala rupa
Mengungkai rencam pelbagai buadaya
Megungkap segenap duka dan lara
Belayar tekad berumpun iktikad
Mengibarkan perpaduan di laut peradaban
Diterajui nakhoda berjiwa waja
Beriman takwa berilmu cendekia.

Kujejaki bahtera itu
Terpegunku melihat keharmonian
Pelbagai kaum berdiri di sini
Bersatu memartabatkan maruah
Membanting semangat mengangkat cemerlang
Mengukir matlamat melakar gemilang
Menyiram azam menybur bangsa terbilang
Demi mengukuhkan bahtera serumpun
Berteraskan kemajuan dalam kedamaian.

Kuterus belayar
Bersama penghuni bahtera itu
Bersatu kudrat mengayuh keringat
Memajukan bahtera melayarkan ke hadapan
Menempuh gelombang globalisasi
untuk mengejar cita dan visi
Demi mencapai satu inspirasi
Menjadi bekalan di kemudian hari.

Sekalipun pernah tergoncang oleh taufan ancaman
Bahtera itu tetap kembali seimbang
Dikemudi oleh nakhoda berwibawa dan tenang
Memegang pada satu prinsip
Tali biar kukuh
Sauh biar tegar
Berlabuh biar teguh
Belayar biar pintar.

Kini bahtera itu semakin utuh
Dengan kebijaksanaan nakhodanya
Mengemudi menyusuri arus wawasan
Singgah berlabuh di pulau kejayaan
Bersama digerakkan oleh penghuni setia
Tekun berganding mengibarkan layar bahtera
Berjalur merah darah keringat penghuninya
Kuning bulan dan bintang mercu kedaulatannya
Berlatarkan biru membentuk satu perpaduan
Dihampari putih lambang bersih dan suci
Inilah bahtera Malaysia tercinta.

Tiada ulasan: