Isnin, Ogos 15, 2011

KEKASIH

Aku tak pernah persoalkan hati
ligat bertamu di persada rindu
bukan sekadar picisan kasih
menduga luahan bicara nista
ianya datang merawat duka
menjadi penawar lesu impian.

Aku meniti tabir malam
mencari jalur mimpi indah
hasratku ingin beradu di sinar pelangi
dan aku terbang melayang
bertemu bidadari penyeri sepi
membawa aku ke awangan kenangan.
Aku terbangun dari khilafku
lalu mereguk di jendela kasmaran.

Cintaku tak pernah menyesal silih
menyuguhiku tanpa silu
menyematkan batin menyimpulkan raga
terpaut kukuh sedihmu menyapa sendu
datang dari pengalaman syahdu
mengikatku dalam sujud doamu.

Kekasihku
bersatulah dalam kalbu
bersama senyuman yang kau tebarkan
demi menyelimuti dingin jasadku
auranya penuh hawa cinta
memenuhi ruang kamar jiwa.

Penantianku semakin dekat
pada mata yang tak lagi melihat
hanya naluri menjadi petunjuk
mencari jalan dalam kusut minda
yang memberi harapan
bertamu di Pelaminan Bahagia.


Kredit buat Effa..

Jumaat, Ogos 12, 2011

PENAGIH REZEKI

Dia penagih rezeki
berjawatan peminta berpangkat perayau
meraih pendapatan di lorong berbau nikmat
di celah-celah restoran menjaja kasihan
dari pelanggan yang senyum hairan
sambil menikmati bermacam-macam hidangan
ingin memberi antara simpati dan bangga diri.

Dia penagih rezeki
membawa tongkat sakti dan tin besi
yang mengetuk hati manusia leka
untuk mengenal erti sengsara
seorang yang sentiasa di selubungi gelap
bertarung mencari jalan kehidupan
demi menerangkan kamar hayat
bagi mengharungi arus dunia
di pentas kemodenan pesat pembangunan.

Semakin maju tamadun peradaban
canggih dan mewah saling didamba
namun si penagih rezeki,
tetap berjalan senada seirama
meningkah simfoni masyarakat terkini
dengan alunan lagu sepi
yang masyarakat tak ambil peduli
tentang wujudnya melodi sumbang
di tengah kerancakan orkestra kemajuan.

Dia penagih rezeki
hanya mampu meraih simpati
dengan takdir Ilahi
yang sekian lama menguji diri.


Selasa, Ogos 09, 2011

AKU INGIN CINTA NAN AGUNG

Aku ingin berenang
menyusur arus mihrab
menyelam ke dasar rohani
moga ketemu mutiara iman
yang menyinar di samudera akidah.

Aku ingin berlari
mencari sejadah taubat
untuk kuhampari di pentas sufi
moga bersatu kita berdiri
berhenti di puncak ilahi.

Aku ingin terbang
menempuh angin cinta
menabur tasbih kasih
moga menyerapi badai jiwa
melembut pusaran taufan sengketa.

Aku ingin cinta nan Agung
bersatu dalam mahabbah insani
memuji keagungan ya Rabbi
dengan alunan zikrullah Kalamullah
dalam puisi ilham dari-Mu.

9 Ogos 2011 (9 Ramadhan 1432)



Isnin, Ogos 08, 2011

AKU MENANGIS DI HARI JADIKU

Senja pilu kenangan azali
mencorak calar-calar sedih dilangit pengalaman
lalu dikaburi awan sesal
kian memaksa rintihan hujan
meliputi kebenaran dan kesangsian
mengisi ruang memori manusiawi.

Siapa aku untuk menentukan
ombak-ombak laut berkocak lembut
angin-angin mendayu mengikut naluri
yang datang tidak pasti
ombakkah menggegar?
Anginkah menggempur?
sudah tentu isyarat dari Yang Maha Kuasa.

Kelopak sedarku mula berlinangan
menakung air madu keinsafan
yang dulunya cuma tawar
hingga ditabur gula kehidupan
menyerapi lidah takwa
yang merasa kemanisan cinta
lalu disanggah cerita dusta.

Kini,
Aku menangis di hari jadiku
menanggung rindu yang semakin sarat
dipenuhi cerita kasih bersyarat
menjiwai watak yang semakin tekad
mengejar bayang-bayang tersirat
tapi hatinya sudah penuh liku dan tersumbat.

Menangisku kepada-Mu Ya Allah
bersujud memohon kempunan
kembalikan ceriaku bersama takdir oleh - Mu
padamkan titik hitam di penglipur lara
yang kini semakin menjalar
di tengah kawah jiwa yang sedang berpusar.

Menangisku di saat ini
kerana mengenang dosa silam
berlalu sudah di kejauhan
di Bawah kekuasan-Mu.

Ya Allah Ya Tuhanku
Di harijadiku ini
putihkan kembali rohaniku
sebagaimana ketika aku dilahirkan.

Isnin, Ogos 01, 2011

HASRAT DAN TEKAD


Selongkar kotak pengalaman
di dalamnya tersimpan seribu petak kisah
susun yang elok dan perbaiki yang buruk
pasti akan membentuk hiasan baru
mencorak kotak kehidupan pengajaran.
Mimpi ternyata lolos menembusi masa
bahagia semakin gundah dalam pencarian makna
terkurung dalam ruang persoalan
maka...
putarkanlah sepuas-puasnya kunci minda
pasti hampir kita membuka pintu kejatian diri!
semoga menemui jurutera cinta
yang mampu membina mahligai setia.

Isnin, Julai 11, 2011

PENTAS IBADAH

Di sini aku bermohon
menghadang ombak nafsu
dengan benteng amalan
menjala ikan pahala
dengan jaring ibadah
berumpankan doa ketenangan diri
mendekatkan diri kepada Maha Mengetahui
menunaikan kewajipan setiap muslimin.

Di sini tertanamnya pohon keinsafan
ditabur dengan baja amalan mulia
disiram dengan air akidah
dengan harap ia tumbuh
bersama iman kukuh
tahan diuji taufan nafsu
meredup rohani dari cahaya khurafat
akarnya mencengkam tanah sifat
menegak batang syariat
membuah kalimah rahmat
menjadi bekalan akhirat.

Pentas Ibadah terpancarnya Hidayah
membentuk jati diri Muslimin sejati
bercahayakan kerdipan Syiar Islam
yang menerangkan zaman gelap Jahiliah
dan menyuluh lorong-lorong mungkar
mementas zikir-zikir
memuji keagungan Tuhan Sekalian Alam.

Rabu, Julai 06, 2011

KUSAMBUT SEBUTIR PERMATA

Kusambut sebutir permata
yang telah jatuh kepangkuanku
cahayanya menembusi zahir
menerjah ke dalam naluri yang duka
aku terpaku dibias silau yang nyata
segera nafasku mendesah
antara debar dan gelisah.

Lembut halus kusentuh butirnya
nyata auranya menusuk kalbuku
licinnya mula menggelungsur
seluruh jasadku dingin dan tenang
terasa bagai magnet yang mengalir
menguruti jasad dan darah.

Renunganku mengawal permata itu
terpesona dan indah sekali
aku mula tenggelam dalam tarikannya
menerawang ke alam fantasi

Kulihat semua bayangan pelangi
mengelilingi dan membelenggu
terkandas aku bersama khayal
yang kusedar ianya bukan mimpi.

Permata itu semakin bersinar
mula menyelubungi seluruh ruangku
tak bisaku lari lagi
di sini telah kutemui hasrat naluri
yang membawa aku ke lembah suci.

Kini semuanya telah dimengerti
tentang kasih yang abadi
kenangan yang tak kulupakan
permata yang seperti itu

Pernah menawan seluruh jiwaku
hingga aku terlena
di sinar gemerlapanmu
kni aku terkedu
terasa dingin dan kaku

Permataku,
Kaulah kasih syahduku bertamu.

TUTUR KATA BERCAKAP BAHASA

Bejalan aku di lorong pertiwi
terdengar bisik pelbagai cerita
adakah aku pejuang bangsa?

Semalam aku sedari
sejernih bahasa telah digauli
toksik pencemarnya mula menular
antara kata setempat tutur merempat

Disetiap cita-cita dilaungkan
tuturku tak mungkin tergugat
oleh hambatan bahasa hebat
tamadun kitalah akan tergerak ke depan
namun, kataku tersekat lagi
tragedi pengkhianat setempat

Kuteruskan tutur dengan kata semangat
menjalin bahasa dengan percakapan yang erat
setiap detik kupertahankan niat
terasa tuturku semakin tenat
menjadi dwi martabat yang sesat.

Tutur kata bercakap bahasa
maruah adat cerminan budaya
ini milik yang harus dijaga
tergadai bahasa terlelong bangsa!